SEMUA orang
mengimpikan kejayaan dan kecemerlangan di dalam apa juga lapangan yang
mereka ceburi. Bagi seorang pelajar, kejayaan bermakna mendapatkan keputusan
cemerlang dalam peperiksaan. Namun begitu, ramai yang berpendapat amatlah
sukar untuk mencapai kecemerlangan ini. Benarkah tanggapan ini?
Islam adalah agama yang mementingkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan.
Seorang yang berilmu lebih ditakuti oleh Syaitan daripada seribu orang
ahli ibadah. Dari wahyu yang pertama lagi, penekanan terhadap menuntut
ilmu sudah diberitakan oleh Allah. Dan Islam juga telah memberi garis
panduan bagi kita untuk mencapai kecemerlangan di dalam menuntut ilmu.
Di sini, saya sertakan apa yang telah saya pelajari dari sebuah ceramah
yang saya hadiri, yang disampaikan oleh Ustaz Dr Badrul Amin, seorang
penceramah yang tidak asing lagi di kalangan remaja dan pelajar semua.
ASAS KECEMERLANGAN SESEORANG
ISLAM
Untuk cemerlang dalam pelajaran, seseorang pelajar Islam mesti mempunyai
sifat-sifat yang disebutkan di bawah ini:
1. Beriman
2. Berilmu
3. Beramal
Ketiga-tiga sifat ini bukan saja kunci kejayaan bagi
seorang pelajar Islam, tetapi ia juga kunci kejayaan di dalam semua bidang.
IMAN
Setiap pelajar Islam mestilah mempunyai kepercayaan dan keyakinan penuh
kepada Allah. Untuk itu, hendaklah seseorang pelajar itu memahami kandungan
Rukun Iman, iaitu percaya kepada Allah, malaikat Allah, rasul-rasul Allah,
kitab-kitab Allah, hari kiamat dan takdir Allah. Pelajar janganlah letakkan
keyakinan dan kepercayaan ke atas perkara lain yang tidak disebutkan di
atas ini.
Percaya kepada Allah
Kita mesti yakin bahawasanya Allah adalah tuhan kita, dan tiada tuhan
selain Allah Yang Esa. Inilah perkara pertama yang Rasulullah s.a.w. ajarkan
kepada umat manusia, iaitu ilmu Tauhid, ilmu mengenal Allah. Allah memiliki
segala-galanya dan berkuasa di atas segalanya. Apa yang kita miliki, seperti
kekuatan dan kepandaian sebenarnya bukanlah milik kita, tetapi ia adalah
hak mutlak Allah. Allah boleh mengambil kembali nikmat-nikmat ini daripada
kita dengan sekelip mata saja. Sebab itulah kita digalakkan supaya banyak
bersyukur di atas segala pemberian-Nya dan mengikiskan sifat sombong yang
ada dalam diri kita.
Percaya kepada Rasul
Allah telah mengutuskan para Rasul untuk mengajar dan memimpin manusia
ke jalan yang benar. Mereka membawa bersama mereka ajaran agama untuk
disampaikan kepada manusia. Selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w., para
ulama menggantikan tempat baginda. Oleh itu, kita mesti menghormati para
ulama dan asatizah kita dan selalu berdamping dengan mereka.
Percaya kepada Kitab-kitab Allah
Allah telah menurunkan kitab-kitab-Nya kepada manusia sebagai panduan.
Kitab-kitab Allah yang wajib kita ketahui ialah Taurat (diturunkan kepada
Nabi Musa a.s.), Zabur (Nabi Daud a.s.), Injil (Nabi Isa a.s.) dan Al-Qur’an
(Nabi Muhammad s.a.w.). Apabila Al-Qur’an diturunkan, secara automatis
ia membatalkan kitab-kitab yang terdahulu kerana Al-Qur’an adalah the
latest edition of God’s Book, maka kitab-kitab terdahulu menjadi obselete.
Seperti juga bila komputer Pentium muncul di pasaran, komputer model 486
tidak lagi digunakan kerana sudah lapuk dan ketinggalan zaman untuk kegunaan
hari ini.
Setiap orang Islam digalakkan untuk membaca dan menguasai Al-Qur’an kerana
ia mendatangkan kesan yang positif ke atas minda. Di dalam sejarah manusia,
hanya orang Islam saja yang dapat menghafal kitab agama mereka, iaitu
kitab Al-Qur’an. Ini adalah suatu pencapaian yang tidak dapat dilakukan
oleh penganut agama-agama lain. Malah, seorang pendakwah Islam dari Afrika
Selatan bernama Ahmad Deedat, bukan saja berjaya menghafal Al-Qur’an,
malah dia juga dapat menghafal kitab Bible yang orang Kristian sendiri
tidak berjaya menghafal. Kebolehannya ini membolehkan beliau berdakwah
dan berhujah kepada orang Kristian, dengan menggunakan dalil-dalil dari
Al-Qur’an dan Bible.
Petua menguatkan akal
Membaca Al-Qur’an dapat menguatkan akal pembacanya. Ustaz Badrul Amin
kemudian menerangkan petua untuk menguatkan akal:
1. Selepas membaca Al-Qur’an, baca surah Al-Fatihah
sekali.
2. Kemudian letakkan tapak tangan di atas ubun-ubun kepala lalu
ucapkan "Ya Qawiy" 14 kali dalam satu nafas. "Qawiy"
bererti "Yang Kuat", dan ia adalah salah satu daripada 99 nama
Allah.
3. Selepas itu, tangan masih di atas kepala, ucapkan "Ya Matin"
14 kali dalam satu nafas. "Matin" juga adalah nama Allah yang
bererti "Yang Teguh".
4. Banyakkan memakan makanan manis yang bukan sugar-based,
seperti kismis, madu, kurma dan sebagainya.
5. Kurangkan memakan makanan masam.
Dengan mengamalkan petua ini, mudah-mudahan para pelajar
semua dapat mempertingkatkan kekuatan dan keteguhan minda agar dapat memahami
dan menghafal fakta-fakta pelajaran dengan lebih berkesan lagi.
ILMU
Untuk menjadi pelajar cemerlang, sifat cinta pada ilmu mestilah ada. Ilmu
yang dimaksudkan di sini bukanlah sekadar ilmu duniawi, tetapi ilmu ukhrawi
juga perlu juga. Ilmu, walaupun apa bentuknya, berasal dari sumber yang
satu, iaitu dari Allah.
Pelajar mestilah ghairah menuntut ilmu, dan ilmu yang ingin dipelajari
itu mestilah ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang
dapat mengangkat martabat kita, baik di dunia mahu pun di akhirat. Ini
termasuk juga ilmu sekular seperti Matematik dan Sains. Ilmu yang merendahkan
martabat kita, seperti ilmu menipu dan mencuri, tak usahlah dituntut.
Enam syarat untuk menguasai ilmu
Dari sebuah syair tulisan Imam As-Syafie (terjemahan oleh Ust. Badrul
Amin):
Wahai pelajar zaman sekarang
Menuntut ilmu bukanlah senang
Enam syarat mesti dipegang
Kalau nak jadi pelajar cemerlang
Akal yang sihat paling utama
Tamak haloba mesti bersama
Tabah dan sabar, wang pun ada
Petunjuk guru, masa yang lama.
1. Akal yang sihat
Kesihatan akal adalah sesuatu yang sangat utama. Sebab itulah Islam mengharamkan
melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan akal, seperti meminum
arak, menyalahgunakan dadah dan sebagainya.
Selain daripada itu, Islam juga mengharamkan apa juga jenis hiburan yang
melalaikan kita daripada melaksanakan kewajipan kita sebagai orang Islam.
Hiburan yang keterlaluan boleh membuat kita khayal dan ada juga yang boleh
merosakkan pemikiran kita, seperti bahan-bahan lucah dan porno. Filem-filem
bercorak khayalan seperti filem science fiction/fantasy misalnya memberikan
gambaran realiti yang salah dan boleh mempengaruhi fikiran kanak-kanak.
Akibatnya, berlakulah peristiwa seperti kanak-kanak yang terjun dari tempat
tinggi selepas menonton filem-filem seperti Superman kerana ingin meniru
aksi wira filem tersebut.
2. Sifat tamak dalam mencari ilmu
Sifat tamak, jika digandingkan dengan proses menuntut ilmu, menjadi satu
sifat yang sangat mulia. "Tamak" bermaksud tidak cukup dengan
apa yang ada. Ini bermakna, di dalam mencari ilmu, kita mesti tanamkan
sifat tidak puas dan selalu tidak cukup. Tetapi hendaklah dimaklumkan,
"tamak" bukan bermaksud "kedekut". "Kedekut"
ertinya bakhil, tidak mahu memberi. Sifat kedekut dalam mencari ilmu adalah
ditegah. Padahal, semakin banyak ilmu yang kita kongsi bersama, semakin
banyak yang akan kita pelajari darinya.
3. Tabah dan sabar
Tidak dapat dinafikan bahawa belajar bukanlah sesuatu yang mudah. Memang
kita selalu saja mendapati yang ada kalanya kita tidak dapat memberi tumpuan
yang sewajarnya kepada pelajaran, mungkin akibat terlalu penat dan sebagainya.
Hendaklah kita sentiasa tabah dan sabar di dalam mengharungi dugaan ini.
Biarlah kita bersusah-susah dahulu, asalkan bersenang-senang di kemudian
hari. Janganlah cepat patah semangat dan putus-asa, kerana untuk mendapatkan
hasil yang kita ingini, hendaklah dengan kesabaran. Ia adalah seperti
menunggu buah durian gugur dari pohonnya. Seandainya buah itu dijolok
sebelum masanya untuk gugur, buah durian tadi tetap tidak boleh dimakan
kerana masih belum masak. Samalah juga seperti menuntut ilmu yang juga
memerlukan ketabahan dan kesabaran.
4. Faktor wang
Faktor kewangan merupakan sesuatu yang penting juga di dalam menuntut
ilmu. Wang diperlukan untuk membayar yuran sekolah dan membeli peralatan
sekolah seperti buku, alatulis dan sebagainya. Pelajar yang mempunyai
masalah kewangan selalunya terpaksa menghadapi banyak masalah untuk meneruskan
pelajaran mereka.
Namun begitu, terlalu banyak wang juga boleh mendatangkan masalah. Bila
wang sudah ada di tangan, seseorang akan berfikiran yang bukan-bukan.
Wang dibelanjakan kepada perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat,
seperti membeli rokok dan melepak di tempat-tempat seperti arked, pusat
membeli-belah dan panggung wayang.
Para pelajar juga digalakkan untuk mengamalkan budaya menabung wang untuk
memupuk sifat berjimat cermat dan tidak boros di dalam berbelanja.
5. Petunjuk guru
Islam memberi penghormatan kepada insan bergelar guru. Islam mengajar
kita supaya sentiasa menghormati guru kita, tidak kira apa matapelajaran
yang diajarnya. Adalah menjadi pantang bagi anak murid untuk melawan atau
menderhaka kepada guru. Seorang murid yang memusuhi gurunya tidak akan
mendapat keberkatan (irsyad) dari ajaran gurunya itu. Kebelakangan ini,
kita sering terbaca kisah-kisah murid yang melawan guru. Malah ada juga
ibu bapa yang bergaduh dengan guru anak-anak mereka kerana tidak setuju
dengan kaedah displin yang dikenakan oleh guru ke atas anak-anak mereka
yang nakal. Ini adalah suatu perkembangan yang menyedihkan.
Istilah guru ini juga termasuk ibu kita kerana ibu adalah guru kita yang
pertama mendidik kita. Maka seorang pelajar juga mesti menjaga hati ibunya,
dan juga hati guru-gurunya.
6. Masa yang lama
Kalau diperhatikan proses pendidikan di sekolah, kita dapati ia mengambil
masa yang agak lama; 6 tahun di peringkat rendah dan 4 tahun di peringkat
menengah. Ilmu tidak dapat ditimba dalam masa yang singkat. Seseorang
yang ingin menuntut ilmu hendaklah mengorbankan masa yang agak lama. Untuk
menjadi doktor, seseorang itu mesti belajar hingga ke peringkat universiti
dan lulus dengan ijazah. Proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya
15 tahun jika dikira dari peringkat darjah satu. Untuk menjadi seorang
alim (plural: ulama) pula, tidak cukup dengan belajar ilmu ukhrawi selama
dua atau tiga tahun saja.
Demikianlah penjelasan 6 syarat yang diajarkan oleh Iman As-Syafie kepada
kita menerusi syairnya itu.
AMAL
Selain daripada beriman dan berilmu, seorang pelajar cemerlang juga mestilah
beramal soleh. Rukun Islam mesti dipelajari dan diamalkan. Solat fardhu
janganlah ditinggalkan, biarpun sibuk macam mana sekali pun. Sebagai seorang
pelajar yang beragama Islam, seseorang itu mesti mempunyai pendirian yang
teguh dan tidak boleh kompromi mengenai perkara yang bersangkut dengan
ajaran dan amalan Islam.
Selain dari solat, seorang pelajar yang mahu cemerlang mestilah memperbanyakkan
berdoa dan meminta kepada Allah. Allah amat menyayangi hamba-hamba-Nya
yang selalu meminta kepada-Nya. Pada waktu yang sama, ambillah sedikit
masa untuk belajar dan mengamalkan doa-doa harian.
Seorang pelajar yang mahu cemerlang juga mesti mencegah dirinya daripada
melakukan perkara-perkara yang haram. Cubalah hindarkan diri dari melakukan
dosa kecil mahupun dosa besar.
Dengan mengikuti panduan ini, insya-Allah, jiwa dan akal kita akan dapat
ditumpukan sepenuhnya untuk belajar. Dengan bantuan Allah, tidak mustahil
semua pelajar Islam dapat menjadi pelajar cemerlang.
Penulis: Nor Herman Maryuti
(untuk Majalah Al Islam, 2000)